Terdahulu, Franco Morbidelli mencatatkan keputusan terbaiknya dalam MotoGP musim ini selepas menamatkan perlumbaan di tempat kelima dalam GP British 2019.

Ketua pasukan Datuk Razlan Razali berkata, mereka gembira dengan keputusan Morbidelli itu dan mengharapkan persembahan pelumba dari Itali itu yang lebih baik pada perlumbaan akan datang.

"Kami menunjukkan prestasi dan kerja berpasukan yang hebat di Silverstone. Di MotoGP, kami sangat gembira dengan Franco yang meraih keputusan terbaik dalam MotoGP setakat ini dan kami tahu ada lagi persembahan lebih baik daripada beliau.

“Ia adalah satu kemalangan yang tidak diingini buat Fabio Quartararo yang menunjukkan prestasi hebat sepanjang minggu.

"Di Moto3, Ayumu Sasaki dan John McPhee berlumba dengan baik dan mereka dalam persaingan untuk kedudukan podium yang selesa (masing-masing di tempat keenam dan ketujuh).

“Dalam saingan Moto2, kami ingin berterima kasih kepada Bradley Smith atas usahanya yang muncul kembali dalam kategori ini setelah sekian lama. Fokus kami sekarang adalah di Misano," katanya dalam kenyataan.

Kejohanan MotoGP 2019 seterusnya akan berlangsung di Litar Dunia Misano Marco Simoncelli pada 13 Sept ini dengan hari perlumbaan di Grand Prix San Marino pada Ahad, 15 September.

Sementara itu, Morbidelli mengakui berjaya berada di tempat kelima adalah keputusan yang baik buatnya dan kru.

"Ia adalah satu perkara yang baik untuk memulakan perlumbaan seterusnya dan saya rasa kita boleh menggunakan apa yang dipelajari hujung minggu ini untuk memperbaiki lagi (corak perlumbaan)," katanya.- BERNAMA