Kedua-dua penunggang itu, saling bertukar kedudukan pada pusingan terakhir tetapi Dovizioso, yang lebih banyak mendahului perlumbaan bersama jentera Ducati miliknya, memastikan kemenangan dengan hanya 0.023 saat (s) di depan pencabar dari Honda itu.

Perlumbaan itu mengulangi saingan dua penunggang berkenaan di Doha dua tahun lalu dalam satu lagi penamat hebat dengan Dovizioso mengatasi Marquez dengan 0.027s.

Penunggang Britain, Cal Crutchlow bersama satu lagi jentera Honda, turut menamatkan perlumbaan di kedudukan podium.

“Saya sangat gembira kerana semua yang berlaku sebelum hujung minggu sangat teruk. Menakjubkan untuk melakukan seperti ini berdepan juara,” kata penunggang dari Itali itu.

Dovizioso turun di perlumbaan Doha dengan rasa bimbang mengenai kepantasan jenteranya, namun masih mampu memulakan saingan di petak kedua selepas sesi kelayakan.

Dia mengetuai kumpulan lapan pelumba yang mendominasi perlumbaan tetapi diekori rapat Marquez sepanjang saingan berlangsung. - AFP