McPhee, 25, bersemangat mempamerkan persembahan terbaik di tempat sendiri selepas berjaya naik podium pada GP Australia baru-baru ini.

“Silverstone adalah litar di mana saya memperoleh keputusan yang baik sebelum ini dan saya lebih bermotivasi ketika ini.

“Suasananya sangat menarik dan dengan sorakan daripada penonton akan memberikan sedikit kelebihan berbanding pesaing saya,” katanya dalam satu kenyataan.

Rakan sepasukannya, Ayumu Sasaki dari Jepun, bagaimanapun berhasrat akan terus meningkatkan prestasi seperti yang ditunjukkan dalam beberapa perlumbaan sebelum ini, sambil berharap keadaan cuaca baik pada Ahad ini.

Untuk rekod, British Grand Prix 2018 terpaksa dibatalkan berikutan cuaca buruk di England.

McPhee kini berada pada tempat keenam dengan 84 mata, manakala Sasaki pada tempat ke-19 dengan 37 mata dalam kedudukan keseluruhan Moto3 selepas 11 pusingan perlumbaan.-BERNAMA