Penunggang Honda dari Sepanyol itu mengetepikan cabaran Valentino Rossi selepas mencatat kepantasan 1 minit, 58.168 saat manakala pelumba rookie dari Perancis, Fabio Quartararo yang disebut-sebut sebagai pilihan untuk meraih petak depan menghadapi masalah jentera untuk sekadar menamatkan sesi kelayakan di tangga keempat.

Ini kali keempat berturut-turut, Marquez akan memulakan perlumbaan dari petak pertama, namun dia dijangka berdepan tentangan sengit juara dunia tujuh kali, Rossi dari Yamaha dalam perlumbaan esok selepas pelumba Itali itu mengekori rapat dengan 0.428s pada kelayakan hari ini.

Pelumba Australia, Jack Miller yang menunggang Ducati menamatkan saingan di tangga ketiga dengan catatan masa 1:58.602s, diikuti Quartararo dengan 1:58.612s.

Marquez kini berpeluang baik untuk mengukuhkan kedudukan sebagai pendahulu kejuaraan MotoGP dunia, di mana dia mengatasi pencabar rapat, Andrea Dovizioso dengan kelebihan 58 mata. - AFP