Pelumba dari Sepanyol itu yang sudah lima kali bergelar juara dunia dalam tempoh enam tahun lalu mencatat masa 0.474 saat lebih pantas (1min:53.380s) daripada pelumba di tempat kedua yang juga rakan senegara, Maverick Vinales.

Menggunakan jentera Honda, Marquez yang melakukan pembedahan bahu pada Disember lalu berjaya mengatasi tentangan jentera Yamaha milik Vinales diikuti Ducati milik Jack Miller dari Australia di Litar Losail itu.

“Saya semakin hampir mencapai kecergasan 100 peratus. Yang penting kecederaan bahu itu sudah saya lupakan. Saya rasa sudah bersedia untuk beraksi dan cukup selesa ketika menunggang. Tiada masalah langsung untuk menunggang ikut cara seperti yang saya mahukan,” tegasnya.

Namun ujian sebenar Marquez adalah pada perlumbaan sebenar esok yang bakal berlangsung pada waktu malam dan di bawah limpahan cahaya lampu litar atas padang pasir itu.

"Hampir kesemua pelumba bersetuju untuk bermula pada pukul 7 malam bagi mengelakkan cuaca terlalu sejuk. Tetapi cuaca sukar diramal tetapi kalau macam sesi latihan ini menang cantik sekali,” tambahnya.

Selain Marquez, tumpuan sudah pasti kepada rakan sepasukan baharunya, Jorge Lorenzo yang baharu berpindah dari Ducati dan pelumba veteran, Valentino Rossi yang kelihatan cukup cergas berbanding pencabar lain. - AFP