Prinsipal pasukan, Datuk Razlan Razali berkata, pelumba tersebut telah melakukan banyak perubahan pada corak tunggangan serta pecutannya adalah setanding dengan pelumba dalam kelompok utama pada GP Qatar, dua minggu lepas.

Namun, katanya, pelumba itu masih mempunyai banyak ruang untuk memperbaiki prestasi selepas menduduki tempat ke-17 dalam aksi pembukaan pada GP Qatar di Litar Antarabangsa Losail, Doha.

Khairul Idham pernah mencetuskan fenomena dalam kemunculan sulungnya pada Moto3 apabila memenangi GP Argentina dan GP Jerman pada 2016.

Bagaimanapun, pencapaian pelumba itu pada GP Qatar, musim ini, cukup baik berbanding meraih tempat ke-23 di litar itu musim lalu, katanya kepada media di sini, hari ini.

Razlan, yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Litar Antarabangsa Sepang (SIC) berkata, pada keseluruhannya pasukan itu telah menampilkan prestasi memuaskan dalam saingan pembukaan MotoGP di Oatar.

Bagaimanapun, katanya, beliau kecewa dengan pelumba Itali, Franco Morbidelli, yang gagal menepati jangkaan dalam kelas MotoGP apabila mengutip lima mata dengan menghuni tempat ke-11.

Rakan sepasukannya, Fabio Quartarao dari Perancis pula menduduki tempat ke-16.

Bagi saingan GP Argentina dari 29 hingga 31 Mac ini, Razlan berharap pasukan tersebut akan meneruskan momentum dan yakin mempunyai peluang untuk melakukan aksi yang terbaik.

"Sasaran kita tetap sama untuk muncul sebagai pasukan satelit terbaik, musim ini," katanya. - BERNAMA