Sejak itu, prestasi Hafizh menjadi tanda tanya dan kecederaan yang menimpanya dalam saingan di Austria, 11 Ogos lalu membangkitkan keraguan ramai pihak sama ada pelumba pertama MotoGP negara itu mampu meneruskan aksinya gara-gara gegaran kepala yang dialami anak muda itu, selain sikunya yang terpaksa dijahit.

Namun, semua dugaan tersebut berjaya ditempuhi Hafizh dengan penuh kesabaran apabila dia membuktikan hatinya tidak pernah patah menerusi persembahan meyakinkan pada Grand Prix Motosikal Britain di Litar Silverstone, semalam.

Pelumba berusia 25 tahun itu membuktikan dia masih relevan untuk terus terbabit dalam kancah perlumbaan MotoGP apabila dia menamatkan aksinya di Silverstone pada kedudukan ke-13 dengan catatan masa 41 minit 07.582 saat (s) dan sekali gus, membawa pulang tiga mata berharga.

“Perlumbaan ini dirasakan amat panjang dan sukar. Saya berasakan sedikit pelik sebelum perlumbaan bermula dan saya tidak mempunyai keyakinan yang tinggi kerana saya bimbang terjatuh lagi dalam perlumbaan buat kali ketiga berturut-turut.

“Jadi, pada awalnya, saya cuba memacu jentera dengan cara yang paling selamat dan saya gagal mendapatkan rentak yang bagus. Tetapi selepas 10 pusingan, saya akhirnya berjaya mendapatkan rentak secara perlahan-lahan. Saya berjaya mencatat masa peribadi terbaik pada pusingan terakhir.

“Saya benar-benar mohon maaf kepada pasukan dan semua kerana saya hilang keyakinan. Sudah pasti, perlumbaan di Misano akan menjadi sesuatu yang berbeza. Saya akan terus bekerja keras bagi membina semula keyakinan diri, terutama pada sesi ujian yang banyak membantu mengembali keyakinan saya,” kata Hafizh dalam kenyataannya menerusi laman web pasukan.

Sementara itu, pengurus pasukan Red Bull KTM Tech 3, Herve Poncharal memberitahu, Hafizh sememangnya kelihatan berhati-hati sewaktu awal perlumbaan.

“Anda boleh lihat dia tidak cuba untuk bekerja keras dan agak bimbang melakukan sebarang kesilapan. Tetapi pada akhirnya, Hafizh bertarung sengit dengan (Jorge) Lorenzo, yang merupakan juara dunia berganda, jadi saya rasa banyak yang dia belajar dalam perlumbaan ini.

“Dia berjaya memintas Lorenzo sebanyak dua kali dan mencatat masa peribadi sepusingan terpantas ketika berada dalam pusingan terakhir,” katanya.

Dalam perlumbaan di Silverstone itu, pelumba Suzuki, Alex Rins dari Sepanyol menjuarai perlumbaan bagi kelas utama tersebut dengan catatan masa 40:12.799s, manakala tempat kedua menjadi milik, juara dunia, Marc Marquez (40:12.812s) dan kedudukan ketiga dimenangi oleh Maverick Vinales dari pasukan Yamaha (40:13.419s). - UTUSAN ONLINE