Pasukan MotoGP negara itu memberi sokongan menarik apabila menampilkan motosikal Yamaha YZR-M1 berdampingan dengan teksi London berpelekat Melawat Malaysia (VM) 2020.

Pasukan yang terdiri daripada Franco Morbidelli dan Fabio Quartararo turut berada dalam gambar tersebut di pit Silverstone, beberapa jam selepas masing-masing menduduki tempat keempat dan kelapan dalam sesi kelayakan GP Britain esok, iaitu pusingan ke-12 kejohanan dunia itu.

Menurut satu kenyataan, sebanyak 135 teksi London dan dua bas London yang membawa pesanan ‘Visit Truly Asia Malaysia’ akan menyusuri jalan raya sekitar kota London bagi menampilkan Malaysia sebagai destinasi pilihan terutama untuk peminat sukan permotoran.

Sebagai sokongan seterusnya terhadap Visit Malaysia 2020 pemilik SRT, Litar Antarabangsa Sepang akan menganjurkan beberapa acara sukan bertaraf antarabangsa, yang paling menonjol pusingan kedua kejohanan MotoGP Dunia 2019 selama tiga hari bermula 1 November.

Ketua Pegawai Eksekutif Litar Antarabangsa Sepang, Datuk Razlan Razali berkata, acara sukan yang diadakan di Sepang juga merupakan suatu paparan untuk membantu membangunkan dan memupuk bakat Malaysia ke peringkat antarabangsa.

"Litar Antarabangsa Sepang berbangga menjadi tarikan utama pelancong di Malaysia jadi kami berbesar hati dengan program VM 2020 pada ulang tahun ke-20 kami.

"MotoGP dilihat di lebih 290 juta isi rumah meliputi 59 buah negara, dengan beratus juta menonton menerusi dalam talian dan berjuta pengikut di media sosial.

“Ia adalah perantara yang sempurna bagi kami untuk memaparkan Malaysia kepada penonton secara meluas," katanya.- BERNAMA