Demikian tegas pelumba pasukan Hong Leong Yamaha Malaysia, Kasma Daniel Kasmayudin selepas berjaya merealisasikan misi untuk muncul juara Perlumbaan 2 kelas SS600 pada Pusingan 5 Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) FIM yang berakhir di Litar Antarabangsa Zhuhai hari ini.

Pada perlumbaan tersebut, Kasma menamatkan saingan dengan catatan masa 19:42.945 saat, sekali gus mengubat kekecewaannya dalam Perlumbaan 1 semalam apabila berada di tempat kedua.

Hari ini, dia berjaya memintas pelumba pasukan SIC Junior ZK Racing, Muhamad Adam Mohd. Norrodin pada selekoh terakhir dan situasi tersebut hampir sama dengan apa yang berlaku di Perlumbaan 1 semalam ketika Adam melancarkan asakan untuk muncul juara.

Pada saingan hari ini, Adam berada di tempat kedua dengan masa 19:43.020s manakala pelumba Thailand, Peerapong Boonlert (Yamaha Thailand Racing Team) di tempat ketiga dengan catatan masa 19:43.094s.

Menurut Kasma, seluruh krew pasukan meletakan harapan kepadanya untuk menang Perlumbaan 2 hari ini dan dia menyahut cabaran tersebut penuh yakin.

“Mereka yakin saya boleh melakukannya dan ia secara tidak langsung melonjakkan semangat saya untuk mengharungi perlumbaan ini dengan penuh keyakinan.

“Saya juga sudah mengenal pasti kelemahan pada Perlumbaan 1 semalam dan hari ini saya berupaya mengatasinya.

"Pasukan memang mengharapkan saya menang dan hari ini sudah tertunai,” jelas Kasma.

Menurutnya lagi, jentera Yamaha YZF-R6 yang ditunggang memang stabil dan ia memudahkan tugasnya untuk menamatkan perlumbaan tersebut dengan penyudah podium.

Selepas berakhirnya Perlumbaan 2 itu, Peerapong kekal mendahului carta keseluruhan dengan 223 mata manakala Kasma berada di tempat kedua dengan 143 mata.

Adam pula menghuni tempat ketiga keseluruhan dengan mengumpul 125 mata.

Pasukan Yamaha Thailand Racing Team terus unggul mendahului kedudukan keseluruhan pasukan dengan 223 mata. - UTUSAN ONLINE