Pelumba Itali, Franco Morbidelli mengutip lima mata di Litar Antarabangsa Losail apabila menamatkan saingan di tempat ke-11 manakala rakan sepasukan, Fabio Quartararo dari Perancis menduduki tempat ke-16.

Morbidelli, pelumba muka baharu terbaik musim lalu, memulakan perlumbaan dari barisan ketiga dan jatuh ke tangga ke-13 sebelum berjaya berada dalam kelompok utama dalam sebahagian besar perlumbaan.

Namun, pelumba muda berusia 24 tahun itu gagal mengekalkan saingan dengan kelompok utama pelumba sebelum menamatkan perlumbaan di tempat ke-11.

" Biarpun permulaan yang tidak baik namun dapat memperbaiki kedudukan dengan mudah dalam kelompok utama serta mampu mengurus tayar dengan baik.

“Malangnya, kami silap memilih tayar belakang dengan menggunakan tayar jenis lembut apabila majoriti pelumba memilih tayar jenis sederhana.

"Saya terpaksa bertahan sebaik mungkin dengan kondisi tayar tetapi pada separuh sesi perlumbaan, saya mula merasa sukar untuk kekal dalam kelompok utama," katanya seperti dipetik dalam laman sesasawag rasmi pasukan itu.

Pelumbaan pembuka musim itu dimenangi oleh penunggang Ducati, Andrea Dovizioso dari Itali manakala juara dunia, Marc Marquez daripada pasukan Honda, ketinggalan 0.023 saat di tempat kedua.

Pelumba Britain, Cal Crutchlow bersama jentera Honda menamatkan perlumbaan di tempat ketiga.

Sementara itu, dalam saingan Moto2, pelumba negara Khairul Idham Pawi, yang membuat penampilan sulung bersama Petronas Sprinta Racing, menamatkan perlumbaan di tangga ke-17 selepas memulakan saingan dari petak ke-21.

Dalam kelas Moto3, pasukan Petronas Sprinta Racing mengutip mata pertama menerusi pelumba Scotland, John McPhee yang meraih tempat ke-13 untuk membawa pulang tiga mata.

Bagaimanapun, rakan sepasukan, Ayumu Sasaki dari Jepun, gagal menamatkan perlumbaan selepas terbabit dalam kemalangan pada pusingan pertama perlumbaan.- BERNAMA