Kebiasaannya, sebelum menyertai pentas perlumbaan besar seperti itu, mereka ini memulakan langkah pertama dalam Kejuaraan Cub Prix.

Bagi mengetahui pendekatan yang digunakan untuk mencari bakat-bakat baharu dalam Cub Prix, wartawan Utusan Malaysia, NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR menemubual pemilik Idemitsu Honda Yuzy Racing, SHAHROL YUZY AHMAD ZAINI bagi ruangan Di Belakang Tabir, minggu ini.

USAHA untuk mengetengahkan bakat baharu dalam sukan permotoran bukan mudah kerana ia memakan kos tinggi sekiranya dijalankan secara sendirian. 

Begitupun, kerjasama daripada syarikat pengeluar motosikal, Kementerian Belia dan Sukan serta penganjur perlumbaan memudahkan urusan bagi setiap pasukan dalam Kejuaraan Cub Prix.

Shahrol Yuzy yang amat ter­kenal dalam arena permotoran tanah air berkata, untuk peringkat awal, bagi mengenal pasti apakah seseorang itu sesuai ber­aksi dalam sukan permotoran, penilaian terhadap fizikal, penampilan serta pergerakan di atas litar sudah memadai.

Katanya, fizikal seseorang itu memainkan pe­ranan penting bagi menentukan sama ada dia boleh diambil sebagai pelumba atau tidak kerana semua itu memberi kesan besar kepada dirinya semasa berada di atas litar.

“Saya cuma perlu tengok fizikal, penampilan serta perge­rakan semasa mengawal jentera.

“Untuk menjadi seorang pelumba Cub Prix, berat seseorang itu perlu berada di bawah 65 kilogram, kalau 50-55kg itu memang ideal dan ketinggian tidak melebihi 1.7 meter. Kalau tinggi sangat, susah untuk berlumba,” katanya.

Shahrol Yuzy yang merupakan pelumba pertama negara beraksi dalam kejuaraan MotoGP bagi kelas 250cc berkata, ramai individu berminat menjadi pelumba namun tidak semua mampu bergelar juara kerana segalanya bergantung kepada sikap mereka sendiri.

Katanya lagi, sebagai tenaga pengajar, dia hanya mampu menyampaikan ilmu selain berkongsi pe­ngalaman kepada pelumba-pelumba muda tetapi terpulang kepada penerimaan mereka.

Dia memberitahu, ada sesetengah pelumba datang tetapi tidak sempat habis belajar dan ada sesetengahnya pula merasakan mereka lebih pandai daripada pengajar.

“Kalau ikutkan ramai mahu jadi pelumba dan mereka ini ada macam-macam kategori. Ada yang boleh jadi pelumba utama, ada boleh jadi juara, ada yang sekadar jadi pelumba ke­rana seperti yang saya katakan, terpulang kepada penerimaan serta kehendak mereka sendiri.

“Tidak semestinya kita laju di atas litar kita akan jadi juara ke­rana kebanyakan yang saya lihat ada masalah psikologi, mereka tiada perancangan apabila berlumba.

“Dalam dunia perlumbaan, tidak semestinya kita agresif kita akan menang. Tidak boleh terlalu agresif, tidak boleh terlalu nakal,” katanya yang kini memiliki lima pelumba di bawah kendalian pasukannya terma­suk Md. Zaqhwan Zaidi dan Azroy Hakeem Anuar.

Selain melatih bakat tempatan, Shahrol Yuzy pernah memberi tunjuk ajar pelumba luar negara termasuk, penunggang Moto3 pasukan Honda Team Asia dari Jepun, Kaito Toba dan abangnya, Ren Toba.

Katanya, Kaito memiliki bakat semula jadi yang mudah dikesan berdasarkan kepada cara dia mengawal jentera serta fizikalnya yang ideal.

“Pada mulanya, keluarga Ren mahu dia menjadi pelumba tetapi saya beritahu mereka supaya jalankan sekali ujian terhadap Kaito. Mereka pada mulanya tidak mahu kerana sudah menetapkan Kaito untuk menjadi penunggang kuda.

“Saya beritahu, kita cuba dahulu kerana saya percaya dia ada bakat. Selepas lihat dia mengawal jentera, memang dia ada karakter sebagai pelumba dan sepanjang saya membim­bing Kaito, dia memang seorang yang rajin serta mudah mende­ngar arahan,” katanya.