Itulah yang boleh digambarkan semangat pelumba berbakat negara, Muhammad Izam Ikmal Izamli yang mahu mengikuti jejak legenda Kejuaraan Grand Prix Motosikal Dunia (MotoGP) dunia, Valentino Rossi.

Anak sulung daripada dua beradik tersebut berharap, satu hari nanti dia mampu mengecapi kejayaan yang sama dengan pelumba Itali itu meskipun sedar pelbagai cabaran dan pe­ngorbanan perlu dilakukannya.

Terpilih dalam Program Impian ke MotoGP anjuran Litar Antarabangsa Sepang (SIC) menjadi platform terbaik untuk Izam merealisasikan impian.

Izam terkenal dengan julukan Pocket Rocket Boy mula meminati sukan permotoran sejak berusia lapan tahun iaitu mengikut jejak langkah ayah­nya, Ikmal Izamli yang juga pelumba kategori ‘Elite’.

Meskipun sudah beratus kali terjatuh ketika perlumbaan mahupun sesi latihan, pelumba berusia 16 tahun itu tidak pernah serik untuk terus berlumba.

Berkongsi pengalaman pa­ling buruk sepanjang kariernya, Izam memberitahu kemalangan di Litar Aragon, Sepanyol kekal dalam ingatannya yang memaksa dia berehat hampir dua bulan lebih.

“Kalau idola tempatan Zulfahmi Khairuddin, antarabangsa tentulah Rossi.

“Kalau boleh saya mahu jadi seperti mereka berdua. Ia bukan mustahil untuk dicapai jika saya berusaha keras, ada disiplin tinggi dan tidak mudah me­ngalah.

“Kemalangan paling meninggalkan kesan kepada saya adalah di Aragon (FIM CEV 2018) kerana pada sesi kelayakan saya mendapat petak yang baik.

“Disebabkan terlalu ghairah mahu berada lebih depan, saya terjatuh dan terpaksa berehat dua bulan lebih,” katanya.

Izam meletakkan sasaran untuk bersaing dalam kategori utama MotoGP tahun depan.

“Sasaran nak beraksi di MotoGP pada 2020 iaitu ketika usia 17 tahun,” ujarnya.

Tahun ini, Izam akan ­menyertai Kejuaraan Moto3 Remaja Dunia (CEV) yang juga tahun kedua.

Selain itu, dia juga akan ber­aksi dalam Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) dan menyasarkan untuk muncul juara keseluruhan.

“Untuk CEV saya harap dapat berada dalam kelompok 15 terbaik manakala untuk ARRC pula muncul juara keseluruhan,” katanya.