Anak muda berusia 25 tahun itu yang bernaung di bawah pasukan Red Bull KTM Tech 3 mengutip dua mata berharga dengan catatan masa 42 minit 29.128 saat (s), mengatasi rakan sepasukannya, Miguel Oliveira (42:29.691s) dari Portugal yang menamatkan perlumbaan di belakang Hafizh iaitu di tempat ke-15 dan membawa pulang satu mata.

Bekas rakan sepasukan Hafizh yang turut memacu jentera KTM, Johan Zarco (42:26.708s) berada di kedudukan ke-13 iaitu satu anak tangga mengatasi Hafizh.

“Terima kasih kepada Allah, kerana memberikan kekuatan kepada saya untuk mengharungi musim ini dan khususnya perlumbaan hujung minggu yang amat istimewa kepada saya. Ini adalah perlumbaan di laman sendiri buat pasukan kami dan saya tidak akan sesekali berputus asa.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada pasukan saya, kerana mereka sentiasa percaya kepada saya dan tidak pernah berputus asa membantu bagi meningkatkan persembahan jentera dan juga gaya tunggangan saya bersama jentera baharu ini.

“Saya benar-benar seronok dalam perlumbaan ini. Pada awalnya, ia agak sukar untuk mendapatkan rentak kelajuan, tetapi selekoh demi selekoh saya mula mendapatkan rentak. Saya cuba bersaing dengan Miguel dan berada rapat dengannya. Akhirnya, dia melakukan kesilapan dan saya berjaya menamatkan perlumbaan di kedudukan ke-14.

“Pungutan dua mata ini memberi makna yang cukup besar kepada saya dan saya mahu mendedikasikan kejayaan ini kepada keluarga dan juga insan yang berada di sekeliling saya, terutamanya peminat di Perancis, kerana mereka sentiasa menghargai pelumba seperti kami,” kata Hafizh dalam kenyataannya yang dipetik menerusi laman web pasukan Red Bull KTM Tech 3.

Juara dunia, Marc Marquez dari pasukan Honda mengungguli perlumbaan tersebut setelah mencatat masa terpantas 41:53.647s mengatasi dua pencabar dari Itali, Andrea Dovizioso dan Danilo Petrucci dari Ducati.

Dovizioso ketinggalan hampir dua saat di belakang Marquez mencipta masa 41:55.631s untuk melengkapkan saingan selaku naib juara, manakala Petrucci berada di tempat ketiga dengan lakaran masa 41:55.789s. - UTUSAN ONLINE