Membuat penampilan pertama dalam perlumbaan yang akan berlangsung di Litar Sepang pada 13 hingga 15 Disember tahun ini, ketiga-tiga pelumba tersebut bakal berkongsi jentera yang sama iaitu Yamaha YZF-R1 dan mendapat kerjasama bekas pasukan juara dunia EWC, Yamaha-Austria Racing Team (YART).

“Saya tidak sabar untuk beraksi dalam perlumbaan EWC yang kali pertama dianjurkan di Malaysia.

Ia bukan kali pertama saya beraksi dalam perlumbaan endurance kerana pernah menyertai perlumbaan 8 Jam Suzuka sebelum ini.

“Begitupun, suasana pasti berbeza apabila beraksi di depan penyokong sendiri. Ia peluang terbaik saya menguji ketahanan fizikal kerana perlumbaan itu berlangsung agak lama dengan cuaca panas,” kata Hafizh.

Melihat kepada rekod Morbidelli bersama Petronas Yamaha SRT dalam saingan MotoGP, kepantasannya memang tidak dapat dinafikan biarpun hanya membuat penampilan sulung pada perlumbaan endurance.

Pelumba kelahiran Itali-Brazil yang sudah biasa dengan litar Sepang dan jentera YZF-R1 cukup teruja untuk mencuba sesuatu yang baharu.

“Saya pernah berlatih dengan YZF-R1 sebelum ini, jadi sudah ada idea mengenai apa yang boleh dijangka, namun saya pasti jentera endurance akan berbeza,” kata Morbidelli.

Sementara itu kehadiran pelumba Belanda, Michael van der Mark menambah lagi kehebatan SRT kerana dia bukan sahaja pernah memenangi Kejuaraan Superbike Dunia tetapi juga sebagai salah seorang pelumba paling berjaya dalam sejarah perlumbaan 8 Jam Suzuka.

“Saya akan melakukan yang terbaik untuk membantu pasukan dengan pengalaman yang dimiliki. Kami bukan sahaja memiliki pasukan yang kuat tetapi juga perlu bijak dan konsisten,” katanya. - UTUSAN ONLINE