Hafizh Syahrin mewakili pasukan Red Bull KTM Tech 3 menamatkan perlumbaan di tempat tercorot dengan catatan masa 43 minit 20.144 saat manakala rakan sepasukannya Miguel Oliveira dari Portugal berada di kedudukan ke-17, 42:53.279s.

"Alhamdullilah, saya dapat menamatkan perlumbaan pada pusingan pertama musim ini. Saya akui keputusan yang diperoleh bukan seperti yang disasarkan. Saya masih tidak dapat rentak dengan jentera ini. Ia amat sukar.

"Saya minta maaf kepada penyokong dan pasukan atas prestasi tidak memberangsangkan pada perlumbaan pertama ini. Saya amat menghargai sokongan anda. Saya akan teruskan usaha dan bekerja keras lagi selepas ini," katanya dalam akaun Instagram @hafizh_syahrin hari ini.

Perlumbaan itu dimenangi oleh pelumba Itali, Andrea Dovizioso daripada pasukan Mission Winnow Ducati dengan catatan masa terpantas 42:36.902s diikuti juara dunia bertahan, Marc Marquez dari Sepanyol (Repsol Honda Team) ditempat kedua dengan 42:36.925s.

Cal Crutchlow dari Great Britain (LCR Honda Castrol) melengkapkan podium dengan catatan masa 42:37.222s, menurut laman web www.motogp.comhari ini.- BERNAMA