Pelumba Redbull KTM Tech 3 itu yang bersaing dalam kelas perdana bagi musim 2019 itu berkata, faktor keserasian sedikit menjejaskan rentak tunggangnya di awal saingan perlumbaan tahun ini.

Jelasnya, bukan satu perkara mudah untuk cepat menyesuaikan diri terutama apabila ia melibatkan perubahan jentera.

"Semestinya saya mahukan keputusan yang baik dan saya kecewa dengan keputusan pada Grand Prix (GP) Qatar tempoh hari... saya masih belum serasi dengan jentera KTM yang baharu.

"Rakan sepasukan mempunyai pengalaman yang lama dengan KTM serta teknik perlumbaan juga sudah mencapai apa dimahukan, tetapi ia bukan mudah bagi saya kerana saya mula berlumba dengan Yamaha," katanya ketika ditemui pemberita di Institut Sukan Negara (ISN) di sini, hari ini.

Hafizh, bagaimanapun tidak melihat prestasi kurang memberangsangkannya pada GP Qatar, Ahad lepas, sebagai penghalang untuknya sekurang-kurang mengulangi pencapaian musim lalu.

"Saya tidak risau tentang kelemahan saya itu...sebaliknya akan berusaha mencari teknik yang baik untuk mengekalkan momentum bagi perlumbaan seterusnya," kata anak muda itu. - BERNAMA