Pelumba yang memacu jentera Honda itu mencatat masa terpantas 41 minit 53.647 saat (s) mengatasi dua pencabar dari Itali, Andrea Dovizioso dan Danilo Petrucci dari Ducati.

Dovizioso ketinggalan hampir dua saat di belakang Marquez mencipta masa 41:55.631s untuk melengkapkan saingan selaku naib juara, manakala Petrucci berada di tempat ketiga dengan lakaran masa 41:55.789s.

Marquez yang memulakan perlumbaan dari petak utama, boleh meraikan kejayaannya itu bersama adiknya, Alex yang memenangi perlumbaan bagi kelas Moto2.

Kemenangan itu juga adalah yang ke-47 buat Marquez dalam perlumbaan kelas utama dan yang ketiga musim ini, tetapi bagi Honda kejayaan tersebut merupakan kemenangan ke-300 dalam perlumbaan MotoGP.

Jim Redman menjadi pelumba pertama Honda berbuat demikian pada 1966, dan tiada pengeluar lain yang berjaya mencipta pencapaian podium sekerap yang dilakukan mereka.

Marquez kini mendahului kejuaraan dunia dengan 95 mata, berkelebihan lapan mata di depan Dovizioso yang menghuni tangga kedua dan 20 mata mengatasi Alex Rins dari Suzuki yang sekadar melengkapkan perlumbaan di tangga ke-10, hari ini, manakala pelumba veteran dari Itali, Valentino Rossi mengumpul 72 mata untuk berada di kedudukan keempat.

“Perlumbaan di Le Mans sangat sukar,” kata Marquez mengulas mengenai Litar Bugatti yang memiliki selekoh mencabar.

Salah seorang pelumba yang mungkin bersetuju dengannya ialah pelumba Sepanyol, Maverick Vinales yang terpaksa mengakhiri perlumbaan apabila dia tergelincir selepas bergesel dengan Francesco Bagnaia. - AFP