Barisan pelumba AHM Motorsports Yamaha Racing mempamer aksi memberangsangkan dalam perlumbaan terakhir apabila Fazrul berjaya menamatkan saingan di kedudukan kelima manakala pendatang baharu, Md Shahzul Naim Razali di kedudukan ke-11.

Malang buat Md Iqbal Amri Malek yang sebelum itu melakukan kejutan apabila berjaya meraih petak depan setelah muncul pelumba terpantas sesi kelayakan Superpole sebelum terjatuh seawal pusingan kedua perlumbaan akhir yang dimenangi Azroy Hakeem Anuar dari pasukan Idemitsu Honda Yuzy Racing.

“Kami mempamer aksi di luar jangkaan sewaktu di Jasin, bulan lalu namun nasib tidak begitu menyebelahi kami setelah Iqbal terjatuh manakala saya pula mengalami sedikit masalah ketika sesi kelayakan.

“Jentera kami sangat baik. Saya berada di kelompok lima pelumba terbaik dalam setiap sesi di Jasin selain sesi kelayakan, jadi saya yakin kami akan kekal memberikan cabaran di Batu Kawan minggu ini.

“Mudah-mudahan sedikit tuah dan nasib lebih baik akan membantu kami untuk menaiki podium minggu ini,” kata Fazrul yang memenangi perlumbaan di Batu Kawan pada 2008, selain menjuarai saingan CP130 2015. - UTUSAN ONLINE