Persekutuan Motosikal Antarabangsa (FIM) dalam satu kenyataan berkata, Mahkamah Rayuan MotoGP akan membuat keputusan sebelum GP Argentina, 31 Mac ini.

Pasukan pengeluar Honda dan Suzuki bersama Aprilia dan KTM membuat protes kepada steward GP Qatar mengenai satu alat di bahagian ‘swingarm’ di belakang jentera Ducati yang ditunggang Dovizioso, rakan sepasukannya Danilo Petrucci dan Jack Miller (Australia).

Bantahan yang dibangkitkan adalah berpunca daripada penggunaan ‘sayap’ di bahagian depan tayar belakang jentera Ducati, yang didakwa pengeluar Itali itu sebagai alat untuk penyejukan tetapi pesaing lain menganggap ia membantu kepada sistem aerodinamik.

Steward MotoGP menolak protes berkenaan Ahad lalu tetapi pasukan membuat rayuan dan ia akan di bawah ke mahkamah MotoGP yang akan dihakimi tiga panel.

“Keputusan GP Qatar masih kekal, bergantung kepada keputusan muktamad dari Mahkamah Timbang Tara MotoGP,” kata FIM.

Dovizioso menewaskan juara bertahan, Marc Marquez dari Honda dengan kelebihan 0.023 saat selepas mengharungi pertarungan sengit di Litar Antarabangsa Losail, minggu lalu. - AGENSI