Sehubungan itu, beliau menafikan dakwaan kononnya tidak bersikap profesional dengan tidak menghormati acara tradisi sambutan tersebut.

Dalam pada itu, katanya, walaupun sudah merasai nikmat bergelar juara pusingan Moto3, perjalanan kariernya sebagai pelumba antarabangsa masih jauh dan banyak lagi perlumbaan mencabar yang perlu ditempuhi.

Sehubungan itu, pelumba pasukan Honda Asia berkenaan memohon rakyat negara ini terus mendoakan kejayaannya pada masa depan.

“Saya memang mengelak daripada terkena semburan minuman keras itu dan ke mana sahaja saya pergi, jati diri sebagai umat Islam tetap di tempat teratas,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam majlis bertemu media di Stadium Negeri Batu Kawan di sini hari ini.

Khairul Idham hadir untuk memberi sokongan sempena Perlumbaan Moto Cubprix di stadium berkenaan yang akan bermula esok.

Pelumba berusia 17 tahun itu sebelum ini meraih pujian ramai selepas melarikan diri ketika minuman keras dibuka ketika majlis penyampaian hadiah Grand Prix Argentina yang dimenanginya pada 3 April lalu.

Dalam pada itu, Khairul Idham yang juga dikenali dengan gelaran KIP berkata, populariti luar biasa yang diterimanya ketika ini tidak menjejaskan tumpuannya untuk perlumbaan akan datang.

“Saya lebih menumpukan tumpuan untuk menguatkan mental kerana itu elemen penting ketika perlumbaan berlangsung, perkara lain seperti (publisiti meluas) saya tidak begitu fikirkan,” katanya.

Mengenai sasaran dalam perlumbaan pusingan keempat di Sepanyol pada 22 hingga 24 April ini, pelumba berasal dari Perak itu berharap dapat menampilkan aksi terbaik.

“Saya akan cuba memenuhi sasaran pasukan iaitu untuk meraih mata dalam perlumbaan itu,” katanya yang menduduki tempat ke-20 dalam perlumbaan pusingan ketiga di Amerika Syarikat (AS) sebelum ini.