Pelumba Idemitsu Honda Yuzy Racing itu merangkul kemenangan ketiganya musim ini selepas menjuarai Pusingan 1 (Jasin) dan 2 (Batu Kawan), sekali gus membuktikan jentera Honda yang kurang menyerlah dalam tiga perlumbaan terakhir sudah bersedia untuk kembali mencabar kejuaraan.

Kemenangan bagaimanapun diraih penuh dramatik selepas Azroy bijak mencuri peluang untuk memintas dua pelumba di depan ketika saingan menghampiri garisan penamat.

Ketika Nazirul Izzat Bahauddin (ONEXOX TKKR SAG) dan Ahmad Afif Amran (Petronas Sprinta Yamaha-CKJ Racing) sedang bersaing hebat untuk memburu podium juara, Azroy sebaliknya memintas mereka, sekali gus mencecah garisan penamat dengan kepantasan 16 minit, 42.092 saat.

“Ia kemenangan yang amat bermakna buat saya selepas gagal menamatkan perlumbaan di Pontian sebelum ini.

“Perlumbaan tadi sangat mencabar dan semua pelumba bersaing hebat sehingga ke lap terakhir. Saya memilih untuk mengharungi perlumbaan tersebut secara selamat dan akhirnya kemenangan memihak kepada saya,” kata Azroy.

Nazirul yang mencatat masa 16:42.197s terpaksa berpuas hati di tempat kedua manakala Afif yang mendapat sokongan padu penyokong tempatan sekadar di tangga ketiga (16:42.264s).

Sebelum itu, Mohd. Helmi Azman (Hi Rev SCK Honda Racing) dilihat sebagai pelumba pilihan untuk menguasai perlumbaan selepas tampil cemerlang pada sesi kelayakan semalam, namun dia gagal mengulanginya.

Helmi sekadar menamat perlumbaan di tempat ke-13 dengan masa 17:17.024s.

Selepas berakhirnya Pusingan 5, Afif kekal mendahului kedudukan keseluruhan dengan 94 mata manakala Azroy di tempat kedua dengan 80 mata.

Pasukan Petronas Sprinta Yamaha-CKJ Racing pula mendahului carta keseluruhan dengan 128 mata.

Perlumbaan dua hari itu berjaya menarik 25,000 penonton yang memenuhi setiap ruang di Litar Permotoran Kompleks Sukan Negeri yang baharu itu.

Selepas ini, saingan Pusingan 6 akan berlangsung di Teluk Intan Perak pada 7-9 September nanti. - UTUSAN ONLINE