Selepas dua musim, pelumba Idemitsu Honda Yuzy Racing itu akhirnya menamatkan dominasi jentera Yamaha sekali gus turut menjadi kemenangan pertamanya dalam perlumbaan kelas perdana.

Azroy memulakan 20 pusingan perlumbaan dari petak ketiga sebelum merampas kedudukan daripada pendahulu, Md Iqbal Amri Malek seawal pusingan kedua. Azroy bagaimanapun diberikan tentangan sengit oleh seorang lagi pelumba muda, Md Helmi Azman sebelum memenangi perlumbaan dengan masa keseluruhan 16 minit 02.227 saat (s).

Helmi muncul naib juara dengan masa keseluruhan 16’02.939s manakala rakan sepasukan Azroy, pelumba senior Zaqhwan Zaidi yang kembali ke kancah Cub Prix pada musim ini melengkapkan penguasaan podium Honda di kedudukan ketiga, 16:09.377s.

“Saya berasa sangat gembira dan puas kerana dapat memenangi perlumbaan dan menghadiahkan kemenangan pertama ini kepada pemilik pasukan, Shahrol Yuzy dan seluruh pasukan yang tidak berhenti bekerja keras untuk memberikan saingan yang lebih kompetitif pada musim ini,” kata pelumba berusia 20 tahun itu.

Dalam saingan CP115, Md Fareez Afeez Abd Rahman meneruskan momentum kemenangan pasukan Motul Yamaha YY Pang Racing apabila mengungguli 12 pusingan perlumbaan dengan masa keseluruhan 12:31.825s.

Naib juara keseluruhan musim 2018 itu mengatasi Ahmad Syukran Aizat Md Yusoff (PETRONAS Sprinta Yamaha CKJ Racing) di kedudukan kedua dengan masa 12:34.962s sementara pendatang baharu kategori CP115, Md Syarifuddin Azman (SGR) Idemitsu Kozi DFZ Yam Honda Racing menamatkan perlumbaan di kedudukan ketiga.

Juara keseluruhan WIRA 2018 itu menamatkan perlumbaan dengan masa keseluruhan 12:35.454s.

Sementara itu, perlumbaan kategori WIRA dimenangi pelumba persendirian, Md Zaki Zamri yang menamatkan lapan pusingan perlumbaan dengan masa keseluruhan 10:24.355.

Tempat kedua milik pelumba pasukan Super KIP Motorsports, Md Afizi Supaat dengan masa 10:24.355s Md Sharul Ezwan M Sharil (AFB TECH Racing) ketiga, 10:24.493s.

Keputusan Pusingan 1 Kejuaraan Cub Prix Malaysia PETRONAS

CP150

1. Azroy Hakeem Anuar (SGR) Idemitsu Honda Yuzy Racing 16:02.227

2. Md Helmi Azman (SGR) Hi Rev SCK Honda Racing 16:02.939

3. Zaqhwan Zaidi (SGR) Idemitsu Honda Yuzy Racing 16:09.377

CP115

1. Md Fareez Afeez Abd Rahman (JHR) Motul Yamaha YY Pang Racing 12:31.825s

2. Ahmad Syukran Aizat Md Yusoff (TRG) PETRONAS Sprinta Yamaha - CKJ Racing 12:34.962s

3. Md Syarifuddin Azman (SGR) Idemitsu Kozi DFZ Yam Honda Racing 12:35.454s

WIRA

1. Md Zaki A. Zamri (SGR) Persendirian 10’24.219s

2. Md Afizat Supaat (SGR) Super KIP Motorsports 10’24.355s

3. Md Sharul Ezwan M Sharil (SGR) AFB TECH Racing 10’24.493s