Walaupun bermula agak perlahan, tetapi pengalaman memberi kelebihan kepadanya untuk mengetepikan cabaran pelumba lain, terutama Yuki Ito (Yamaha Racing ASEAN) dan pelumba Honda Asia Dream Racing with SHOWA, Md Zaqhwan Zaidi.

Di awal perlumbaan, Azlan agak ketinggalan namun dia mampu menempatkan diri dalam kelompok empat pelumba hadapan sebelum memintas Zaqhwan dan Yuki pada pusingan terakhir bagi membolehkannya merampas kedudukan kedua.

Pada perlumbaan 13 pusingan itu, Azlan melakukan catatan masa 20:38.931 saat (s), ketinggalan 1.394s di belakang juara, Broc Parkes dari Australia yang menggalas cabaran pasukan Yamaha Racing Team ASEAN.

Yuki Ito (Yamaha Racing Team ASEAN) di tempat ketiga dengan masa 20:39.944s manakala juara Perlumbaan 1 semalam, Zaqhwan di keemmpat keempat dengan masa 20:40.184s.

Azlan berkata, dia terpaksa bekerja keras pada Perlumbaan 2 hari ini untuk mengelak kesilapan ketika mengharungi Perlumbaan 1 semalam.

Menurutnya, dia kurang bernasib baik kerana terjatuh dan hari ini bertekad untuk memburu penyudah podium.

“Semalam memang agak kecewa selepas

terjatuh, namun hari ini saya bertekad untuk mengatasi kekecewaan tersebut. Semuanya berjalan seperti dirancang dan momentum saya sepanjang mengharungi Perlumbaan 2 ini juga lebih stabil.

“Saya perlu bekerja keras juga kerana di awal saingan rentak saya aak perlahan. Apa yang penting, saya berjaya menjejak podium hari ini dan ia kejayaan yang amat bermakna buat pasukan,” jelas Azlan.

Menurutnya, ia saingan yang cukup mencabar terutama dengan kelibat Yuki Ito yang agak agresif hari ini selain saingan daripada Zaqhwan yang turut memburu penyudah podium.

“Namun, saya mampu atasinya dengan baik, sekali gus menghadiahkan mata yang sangat berharga buat pasukan,” tegas Azlan yang meraih kemenangan berganda pada aksi Pusingan 3 di Buriram, Thailand, Jun lalu.

Selepas selesai perlumbaan hari ini, Azlan kekal menduduki tangga ketiga dalam carta keseluruhan pelumba dengan 139 mata manakala Parkes terus kukuh dengan status pendahulu selepas mengumpul 188 mata.

Zaqhwan pula di tempat kedua keseluruhan dengan 153 mata.

Saingan Pusingan 6 ARRC akan berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang pada 19 hingga 22 September nanti.

Pusingan penutup musim akan berlangsung di Litar Antarabangsa Chang Buriram pada 29 November hingga 1 Disember. - UTUSAN ONLINE