Pelumba pasukan Onexox TKKR SAG Team itu yang terjatuh dalam perlumbaan pertama semalam, mencatat masa 20 minit 38.931 saat (s), ketinggalan 1.394s di belakang pelumba Australia, Broc Parkes daripada pasukan Yamaha Racing Team ASEAN.

Rakan sepasukan, Parkes, Yuki Ito menduduki tangga ketiga setelah merakam masa 20:39.944s, manakala seorang lagi pelumba negara, Md Zahqwan Zaidi yang menjuarai perlumbaan pertama, semalam sekadar meraih kedudukan keempat dengan catatan masa 20:40.184s.

“Semalam memang agak kecewa selepas terjatuh, namun hari ini saya bertekad untuk mengatasi kekecewaan tersebut. Semuanya berjalan seperti dirancang dan momentum saya sepanjang mengharungi Perlumbaan 2 ini juga lebih stabil.

“Saya perlu bekerja keras juga kerana di awal saingan rentak saya agak perlahan. Apa yang penting, saya berjaya menjejak podium hari ini dan ia kejayaan yang amat bermakna buat pasukan,” kata Azlan dalam satu kenyataan dikeluarkan penganjur perlumbaan, hari ini.

Keputusan positif yang dicapai Azlan tidak mengubah kedudukan pelumba berkenaan yang masih berada di tangga ketiga keseluruhan kategori ASB1000 dengan kutipan 139 mata, manakala Parkes dan Md Zaqhwan, masing-masing berada di tangga teratas dan kedua dengan mengumpul 188 mata dan 153 mata.

Pusingan keenam ARRC 2019 akan berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang pada 19 hingga 22 September ini. - BERNAMA