Dalam pada itu, Akid yang menamatkan saingan musim lalu di tangga ketiga keseluruhan, sudah bersedia untuk menggalas tugas selaku pelumba utama PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor setelah ketiadaan Kasma Daniel Kasmayuddin dan Ramdan Rosli yang beralih ke saingan Asia dan Eropah musim ini.

Ketiadaan dua pelumba berpengalaman itu menyaksikan Akid bakal bergandingan dengan dua pelumba baru kelas CP150, Haziq Fairues dan Shafiq Ezzariq Saiful Nizam.

“Saya tiada masalah dengan ketiadaan dua gandingan sebelum ini kerana sudah biasa dengan jentera CP150. Selain Cub Prix, saya juga sudah dua tahun beraksi dalam kategori 150 dalam saingan Asia.

“Selain itu, saya yakin Haziq dan Shafiq juga akan cepat menyesuaikan diri dengan jentera CP150 terutama Haziq kerana dia merupakan rakan sepasukan saya dalam Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC),” ujar juara Underbone 150cc ARRC 2017 itu.

Bercakap tentang sasaran dalam pusingan pertama itu, Akid menjelaskan dia berharap dapat memulakan musim 2019 dengan meraih podium sebagai pemangkin semangat untuk memburu gelaran keseluruhan musim ini. - UTUSAN ONLINE