Adib melengkapkan 15 pusingan perlumbaan dengan catatan masa 13 minit, 8.314 saat manakala rakan sepasukannya, Fareez di tempat kedua dengan masa 13:08.442s.

Kemenangan Adib sudah diduga selepas dia memulakan perlumbaan dari petak pertama selepas mencatat masa terpantas pada pusingan ‘shoot out’ di sebelah pagi dengan kepantasan 51.596 saats.

Kelebihan itu dipergunakan sepenuhnya oleh Adib untuk memimpin perlumbaan tanpa berdepan tentangan sengit daripada pencabarnya.

Walaupun beberapa kali cuba memintas Adib, namun Fareez tidak diberikan ruang untuk berbuat demikian.

Apabila perlumbaan memasuki pusingan kesembilan, beberapa pelumba yang cuba mengejar kedudukan dua jaguh Motul Yamaha YY Pang itu terjatuh, dan insiden tersebut telah memberi ruang mereka untuk mengukuhkan lagi kedudukan sehingga ke garis penamat.

Pelumba pasukan Idemitsu Honda Yuzy Racing, Shahrol Syazras Shahrol Yuzy berada di tempat ketiga dengan masa 13:15.174s.

“Saya bersyukur kerana kembali menjejak kaki di podium kemenangan. Saya juga mengucapkan terima kasih kepada kru pasukan yang telah bekerja keras untuk menyediakan jentera terbaik buat saya mengharungi perlumbaan ini.

“Semuanya berjalan dengan baik,” kata Adib, yang akhirnya menebus kecewa selepas gagal meraih sebarang mata dalam penampilan terakhir di Pontian bulan lalu.

Adib kini menghuni tempat ketiga keseluruhan dengan 66 mata manakala Ahmad Syukran Aizat Yusoff (Petronas Sprinta Yamaha-CKJ Racing) kekal mendahului saingan menerusi 84 mata.

Bagi kategori pasukan pula, pasukan Motul Yamaha YY Pang Racing masih mengungguli kedudukan dengan 135 mata. - UTUSAN ONLINE