Pelumba muda negara itu akan beraksi untuk pasukan Petronas Sprinta Racing Moto2 menggantikan Khairul Idham Pawi yang mengalami kecederaan.

Adam yang berpengalaman berlumba dalam kelas Moto3 bersama pasukan Petronas Sprinta Racing dari 2016 sehingga 2018, berharap dapat memberikan cabaran terbaik biarpun sedar Litar Misano adalah trek yang cukup berliku.

"Saya menerima banyak ucapan tahniah selepas diberikan peluang ini dan itu membuatkan saya amat bersyukur.

"Saya sudah tonton perlumbaan tahun lalu berulang kali, selain beberapa perlumbaan tahun ini.

"Saya juga ada berbincang dengan beberapa pelumba lain untuk cuba memahami bagaimana enjin Triumph bekerja," katanya dalam kenyataan akhbar semalam.

Menurut pelumba berusia 21 tahun itu lagi, dia tidak meletakkan harapan tinggi dalam perlumbaan tersebut dan enggan terlalu memberi tekanan kepada diri sendiri.

"Jika dapat keputusan baik, ia satu bonus tetapi sasaran saya adalah mempelajari sesuatu pada setiap sesi dan konsisten dalam perlumbaan," kata pelumba kelahiran Johor itu. - AGENSI