Pelumba berusia 20 tahun itu yang kini mewakili pasukan SIC Junior ZK Racing, turut menyasarkan kedudukan podium pada pusingan pertama bermula 8 hingga 10 Mac ini, walaupun terpaksa menunggang dengan berhati-hati untuk mengelak daripada terjatuh.

"Minggu ini, saya sasar kedudukan podium, bagi perlumbaan akan datang baru saya tekad memburu kejuaraan. Pada masa sama, saya perlu berhati-hati untuk elakkan kemalangan yang boleh membuat kecederaan lebih parah," katanya ketika ditemui pemberita semasa ujian pra-musim ARRC di SIC, hari ini.

Bekas pelumba pasukan Moto3 Petronas Sprinta Racing itu, digugurkan daripada pasukan berkenaan pada hujung musim lalu, selepas bergelut untuk mempamerkan aksi konsisten selepas tiga musim beraksi dalam saingan itu, selain, dibelenggu kecederaan.

Ujian pra-musim bermula semalam itu, merupakan tunggangan pertama pelumba tersebut sejak Grand Prix (GP) Malaysia di litar sama pada November lalu yang menyaksikan Adam ditimpa kecederaan selepas patah bahu dan koyak ligamen lutut akibat kemalangan dalam perlumbaan terdahulu.

Pelumba berasal dari Johor yang terpaksa menjalani dua pembedahan itu, mencatat dua minit 11.818 saat (2:11.818s) pada ujian masa hari ini, untuk menduduki tempat keenam daripada 14 pelumba.

"Saya amat puas hati dengan ujian minggu ini kerana ia tunggangan pertama saya sejak GP Malaysia. Tiga bulan saya berhenti 'main motor', dari hari pertama sampai sekarang, saya meningkatkan kelajuan, jadi saya sangat gembira dengan perkembangan ini.

"Saya juga sudah mula fahami karakter jentera 600cc, agak berbeza dengan jentera Moto3 tetapi ada banyak lagi kena belajar. Kelajuan juga agak baik tapi oleh kerana perlumbaan minggu ini agak pantas (10 pusingan), saya rasa mengejar masa lebih penting minggu ini," katanya.

Pengurus pasukan, Zulfahmi Khairuddin pula yakin Adam mampu mencapai sasaran meraih podium di Sepang berdasarkan pengalaman dimilikinya dalam perlumbaan dua roda dan rentak perlumbaan yang agak baik. - BERNAMA