Hafizh, 25, terpaksa dikejarkan ke hospital untuk pemeriksaan lanjut selepas mengalami gegaran di kepala akibat terlibat dalam kemalangan di Litar Antarabangsa Spielberg.

Bagaimanapun pelumba negara itu akhirnya dibenarkan keluar dari hospital hari ini selepas menjalani pembedahan kecil, malah disahkan bersedia untuk kembali ke trek, dua minggu dari sekarang.

“Hafizh sudah dibenarkan keluar dari hospital selepas menjalani pembedahan kecil siku kanan. Dia bersedia untuk pulih dan kembali cergas sepenuhnya di Silverstone,” tulis pasukan Red Bull KTM Tech 3 dalam satu kenyataan.

Sementara itu, pengurus pasukan, Herve Poncharal menyuarakan kebimbangan dengan prestasi Hafizh yang gagal menamatkan perlumbaan buat kali kedua berturut-turut.

“Tidak menamatkan perlumbaan sekali lagi. Ia agak membimbangkan saya kerana sejak kembali dari bercuti panjang, Hafizh nampak gentar dan mungkin terlalu memaksa diri untuk mencari keputusan yang lebih daripada kemampuan.

“Dia mengalami gegaran di kepala. Selain itu saya lihat dia nampak baik saja.

“Saya rasa kami perlu duduk berbincang dan beritahu dia bahawa perkara paling penting adalah berlumba dengan selamat dan cuba menamatkan perlumbaan.

“Saya rasa dia berpeluang untuk mengutip mata. Apa pun, dia perlu bersikap positif dan terus bekerja keras,” kata Poncharal dalam laman web rasmi Red Bull KTM Tech 3.

Ini kali keempat Hafizh gagal menamatkan perlumbaan musim ini, sekali gus kekal mengutip tiga mata selepas 11 pusingan. - UTUSAN ONLINE