Juara dunia empat kali itu menjadi pilihan untuk memenangi kejuaraan tahun lalu tetapi dia melakukan terlalu banyak kesilapan di perte­ngahan musim hingga menyebabkan pesaing utamanya dari Mercedes, Lewis Hamilton akhirnya dinobat sebagai pemenang.

Sebaik sahaja memulakan kempen musim ini, pemandu Jerman itu mengulangi kesilapan sama, dan akibatnya, Mercedes menerusi dua pemandu mereka, Hamilton dan Valtteri Bottas mendominasi persaingan.

“Hari ini, semua orang masih bertanya saya tentang masalah yang kami alami musim lalu dan kegagalan kami dalam perlumbaan-perlumbaan sebelum ini.

“Langsung tiada rasa hormat. Kami berdepan cabaran baharu, musim sukar tetapi anda masih mengungkit kesilapan lalu.

“Saya rasa seperti berdepan serangan peribadi, kadangkala saya tidak faham. Apakah anda semua serius,” katanya kepada majalah F1 Racing.

Kesilapan terbesar pemandu berusia 32 tahun itu tahun lalu adalah apabila terlibat kemalangan ketika mendahului perlumbaan di negara sendiri kerana terlalu bersaing dengan Hamilton.

Vettel masih mencari kemenangan pertama musim dan berharap kemarau lebih setahun itu dapat ditamatkan di Grand Prix Belgium, hujung minggu ini. – AGENSI