Harga tiket Kejuaraan Endurance Dunia FIM dan Piala Touring Dunia FIA yang dijadualkan berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) pada 13 hingga 15 Disember ini, kini lebih murah setelah dikecualikan cukai hiburan.

Sebelum ini, harga tiket adalah 25 peratus lebih tinggi berikutan cukai hiburan yang dikenakan oleh kerajaan.

Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Datuk Razlan Razali berkata, pengecualian cukai itu tentunya berita baik bagi peminat kerana harga tiket akan menjadi lebih murah.

“Selepas rayuan kami dan pertimbangan daripada kerajaan, SIC mendapat pengecualian cukai hiburan bagi kedua-dua acara itu.

“Kami berterima kasih kepada peminat dan rakan kongsi yang sentiasa memberi sokongan kepada acara anjuran kami. Bagi sesiapa yang masih belum membeli tiket, boleh berbuat demikian pada harga baharu, dan kepada yang telah membeli sebelum ini, jangan bimbang kerana akan mendapat balik perbezaan harga tiket itu,” katanya.

Bagi pembeli tempatan, mereka boleh memilih sama ada baucar tunai untuk membeli barangan di Butik SIC atau bayaran balik tunai melalui pindahan bank untuk tiket yang sudah dibeli. Pembeli luar pula, bayaran balik tunai bagi tiket yang dibeli hanya boleh dibuat di kaunter tiket bermula Jumaat hingga Ahad minggu perlumbaan.

Bagi peminat yang membeli tiket melalui ejen, mereka boleh membuat tuntutan secara terus daripada ejen masing-masing. - BERNAMA