Bagaimanapun sewaktu AFP menghubungi hospital tersebut, mereka enggan mengesahkan atau menafikan berita berkenaan kerana terikat dengan undang-undang privasi perubatan.

Menurut Le Parisien, bekas pemandu berusia 50 tahun itu kini menerima rawatan di jabatan kardiovaskular di bawah pemantauan pakar bedah, Philippe Menasche, bagi menjalani pembedahan stem cell untuk mengelak daripada masalah kegagalan jantung.

Schumacher akan menerima rawatan stem cell untuk mendapatkan kesan anti-radang di seluruh sistemnya, lapor Le Parisien.

“Rawatan ini akan bermula pada Selasa pagi (hari ini),” kata Le Parisien yang mendakwa bekas pemandu Ferrari itu telahpun menerima rawatan di hospital berkenaan sebanyak dua kali pada musim bunga ini.

Schumacher ditimpa kemalangan sewaktu bermain ski pada Disember 2013 dan sejak tragedi tersebut, tidak banyak informasi yang dikongsi mengenainya kepada umum.

Dia berada dalam keadaan koma selama enam bulan, selepas kemalangan tersebut dan dipindahkan dari hospital Grenoble ke Lausanne sebelum kembali ke kediamannya pada September 2014 di mana Schumacher menerima rawatan perubatan peribadi.

Berdasarkan cerita yang dimaklumkan oleh kenalan lama, bekas pemandu Formula 1 itu tidak dapat berjalan mahupun bertutur secara normal. – AFP