Pelumba berusia 21 tahun dari Britain itu, merupakan pemenang Formula 2, tahun lalu, tetapi, persembahannya merudum jatuh sejak melakukan penampilan sulung dalam F1 bersama pasukan bekas juara dunia, Williams di Australia, bulan lalu.

Russell pernah menjalani ujian bersama juara dunia, Mercedes, tahun lalu, apabila mencatat rekod trek di Hungary pada Ogos dan dia kini menikmati kelajuan jentera yang dipandunya apabila mencipta masa sepusingan terpantas 1 minit 29.029 saat (s) di Litar Sakhir.

Catatan masanya pada ketika trek kering selepas hujan turun pada Selasa, telah membantu Russell melakar masa terpantas sepanjang dua hari sesi ujian yang dijalankan di Bahrain selepas Mercedes menjuarai Grand Prix Bahrain menerusi juara dunia lima kali, Lewis Hamilton.

Pemandu Mexico, Sergio Perez mencatat masa kedua terpantas dengan pelumba Ferrari, Sebastian Vettel berada di kedudukan ketiga.

Mick Schumacher, yang berusia 20 tahun, anak lelaki kepada juara dunia tujuh kali, Michael, memandu jentera Alfa Romeo selepas melakukan penampilan sulung dalam sesi ujian masa F1 bersama Ferrari, kelmarin, menamatkan harinya di kedudukan keenam terpantas selepas menyempurnakan 70 pusingan.

Pemandu Thailand, Alexander Albon melengkapkan pusingan paling banyak, setelah melakukan 143 pusingan bersama jentera Toro Rosso, sementara pelumba Britain berusia 19 tahun, Dan Ticktum menyempurnakan 135 pusingan dalam penampilan pertamanya pada sesi ujian untuk Red Bull.

Pelumba Kanada, Nicholas Latifi, yang merupakan pemandu simpanan Williams, mencatat masa paling perlahan menerusi masa sepusingan 1:32.198s. - AGENSI