Selepas menduduki tempat kedua pada pusingan ketiga di Manila, Filipina, Putera Adam memperkemaskan pemanduannya menerusi jentera Kart Republic milik pasukan I.S Racing apabila mendominasi keseluruhan sesi kelayakan dan pelumbaan.

Bermula di petak pertama, pelumba berusia 13 tahun itu mengekalkan momentum pemaduannya untuk menamatkan perlumbaan dengan catatan masa 19 minit 30.688 saat manakala tempat kedua menjadi milik Adrian Hassan dari Indonesia dengan 19:46.844 dan ketiga dimenangi Bianca Bustamante dari Filipina, 19:55.278s.

Putera Adam yang juga juara Kejohanan X30 Asia 2018, berada di kelas tersendiri sepanjang Kejohanan IAME Siri Asia berlangsung apabila menjadi pelumba tunggal dari Malaysia menaiki podium dalam tiga pusingan sebelum ini.

Pemandu yang pernah menaiki podium di Kejohanan WSK Super Master Series di Venice, Itali, dilihat mampu menjadi Juara keseluruhan Perlumbaan IAME Siri Asia 2019 yang berbaki dua pusingan iaitu di Langkawi pada 3 hingga 4 Ogos ini dan di Sepang pada 14 hingga 15 September ini. - UTUSAN ONLINE