Kemalangan kepada kelajuan tinggi itu menyaksikan Hubert, 22, terlebih dahulu melanggar tembok tayar keselamatan menyebabkan keretanya terhenti di tengah trek litar sebelum sebuah lagi kereta yang dipandu Juan Manuel Correa melanggar sekali lagi dari belakang.

Ini menyebabkan Hubert mati serta merta di tempat kejadian dengan keadaan jenteranya ranap dan terbalik manakala Correa masih dirawat di hospital kerana dilaporkan mengalami patah kaki sahaja.

Insiden itu menyebabkan perlumbaan F2 itu terpaksa dibatalkan kerana serpihan akibat kemalangan tersebut bertaburan dan memenuhi litar perlumbaan.

Ucapan simpati dan takziah kepada Hubert dan keluarganya datang mencurah-curah selepas insiden itu termasuk daripada beberapa pelumba F1 seperti Lewis Hamilton dan Max Verstappen.

Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA) dalam satu kenyataan pula berkata, pelumba pasukan BWT Arden disahkan meninggal dunia pada pukul 6.35 petang waktu tempatan berikutan kecederaan teruk yang dialaminya.

Hubert yang lahir daripada program Renault F1 merupakan juara GP3 junior. Selain itu beliau juga pernah menang dua kali dalam perlumbaan F2 musim ini iaitu di GP Perancis dan Monaco. - AFP