Beraksi dengan penuh emosi, sehari selepas pelumba Perancis, Anthoine Hubert terkorban di atas litar yang sama akibat kemalangan ketika berlumba dalam saingan F2, Leclerc mengawal rasa gemuruh menewaskan Hamilton.

Pemandu Ferrari berusia 21 tahun itu bagaimanapun mengakui, kemenangan sulung tersebut tidak dapat dinikmati sepenuhnya kerana kematian Hubert.

Leclerc yang memakai pelekat ‘Berlumba untuk Anthoine’ di badan kereta, menujukan kemenangan tersebut buat pelumba muda Perancis tersebut yang merupakan rakan sepasukannya ketika sama-sama berlumba buat Renault F1 Junior.

“Emosi saya bercampur baur hari ini. Saya akhirnya mencapai impian sejak zaman kanak-kanak iaitu memenangi perlumbaan F1.

“Begitupun pada masa sama, sukar untuk berlumba ketika ingatan anda masih terbawa-bawa kepada insiden yang menimpa Anthoine.

“Saya kehilangan seorang kawan, ia situasi yang amat sukar apatah lagi beraksi di atas trek sama yang telah meragut nyawanya. Kemenangan ini saya tunjukan buat Anthoine.

“Kami membesar bersama. Perlumbaan pertama saya adalah bersama Anthoine ketika kami masih muda, ketika itu kami bergandingan dengan Esteban (Ocon) dan Pierre (Gasly),” kata Leclerc yang memulakan perlumbaan dari petak pertama,

Ini juga adalah kemenangan pertama Ferrari musim ini, sekali gus memberi amaran kepada Mercedes bahawa mereka sudah bersedia untuk menjadi pencabar serius pada baki saingan.

Dua pemandu Mercedes, Hamilton dan Valterri Bottas mengekori di tempat kedua dan ketiga manakala rakan sepasukan Leclerc yang juga juara dunia empat kali, Sebastian Vettel di tempat keempat. - AGENSI