Leclerc menghadiahkan kemenangan pertama buat Ferrari di tempat sendiri sejak 2010, sekali gus menceriakan pasukan dari Itali itu selepas seorang lagi pelumba mereka, Sebastian Vettel terbabas dan sekadar menamatkan saingan di tempat ke-13.

Kemenangan bagaimanapun tidak hadir dengan mudah apabila pemandu muda Monaco itu dihambat oleh juara dunia, Hamilton sepanjang 20 pusingan sebelum Bottas turut memberi tentangan menuju ke hujung persaingan.

‘Serangan’ berganda yang dilancarkan pasukan Mercedes tidak mencemaskan Leclerc, 21, yang kekal tenang sehingga tamat perlumbaan.

“Perlumbaan yang gila!.

“Saya tidak pernah rasa sepenat ini dalam perlumbaan. Ia amat sukar, namun saya berjaya memenuhi impian Itali untuk menang di depan penyokong sendiri,” kata Leclerc.

Bottas menamatkan perlumbaan di tempat kedua manakala Hamilton yang dikecewakan oleh masalah tayar pada pertengahan saingan terpaksa berpuas hati di tangga ketiga.

Hamilton kemudian meminta maaf kepada pasukan Mercedes kerana gagal meneruskan momentum ekoran isu tayar yang dihadapi.

Juara dunia lima kali itu bagaimanapun masih kekal mendahului kedudukan pemandu dunia dengan 63 mata mengatasi Bpttas.

Daniel Ricciardo dari pasukan Renault menamatkan saingan di tempat keempat, diikuti rakan sepasukannya, Nico Hulkenberg kelima dan pemandu baharu Red Bull, Alex Albon keenam. - AGENSI