Selain membesar dengan pelbagai kesulitan berbanding kanak-kanak lain, dia juga terpaksa menukar 'kaki palsunya' setiap enam bulan untuk disesuaikan dengan tumbesarannya.

Bagaimanapun, semua cabaran itu tidak pernah menyekat Chetan, 32, daripada membesar sama seperti rakannya yang lain, dalam bersukan dan sebagainya. Namun, selepas merasai kehebatan lajunya pecutan jentera, hatinya telah terpaut dengan sukan permotoran, dan dia tidak lagi menoleh ke belakang.

Dilahirkan di Andhra Pradesh, India; Chetan menjadi orang kedua di dunia yang berlumba dengan menggunakan kaki palsu, selepas bekas pemandu F1 Itali, Alex Zanardi; dan dia adalah pemandu yang pertama di dunia memenangi perlumbaan menggunakan kaki palsu.

Selepas memenangi beberapa perlumbaan dan bersaing dalam pelbagai siri kejohanan, Chetan kini menguji kereta-kereta Formula Masters dengan Eurasia Motorsport dengan sasaran menyertai Formula 3 Asian Championship Winter Series, hujung tahun ini.

Semasa pelumba lain dengan pelbagai kecacatan di seluruh dunia menggunakan kereta yang diubah suai menerusi kawalan tangan untuk klac, brek dan pemacu kelajuan, Chetan sebaliknya memilih untuk bersaing secara adil dengan lain-lain pelumba, dengan tidak memilih sebarang pengubahsuaian dalam mengawal kenderaan.

Chetan terpaksa menggunakan kaki palsu yang diperbuat daripada fiber karbon bagi menyerap kesan hentakan dan membantu semasa membrek, kerana dia memerlukan kuasa hampir lapan kilogram pada bahagian kaki dan betis untuk membrek dengan lebih baik semasa membelok.

"Banyak pihak menghubungi saya menawarkan bantuan untuk mengubah suai kereta bagi keselesaan saya, namun saya mahu menggunakan kereta yang menampilkan cabaran yang sama seperti lain-lain pesaing. Pada pandangan saya, perlumbaan seharusnya adil di semua peringkat," katanya kepada Bernama ketika ditemui di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), di sini.

"Saya faham, saya boleh melakukannya, semua ini adalah berkenaan menyesuaikan diri dengan keseluruhan sistem. Jika saya boleh berjalan dan berlari seperti kanak-kanak lain, saya rasa saya boleh melakukan perkara yang sama walaupun setelah dewasa.

"Sejak kecil lagi, saya tidak bergantung harapan kepada sebarang klac atau sebarang keistimewaan untuk bergerak, saya boleh dikatakan sebagai seorang yang bermotivasi, di mana jika ada orang yang cuba menyekat saya dengan mengatakan bahawa ia mustahil, saya masih tetap akan melakukannya," katanya.

Dengan sokongan QNet sejak 2011, kejayaan Chetan dalam arena sukan permotoran banyak dipengaruhi dan diinspirasi oleh ibunya Padma, dan isteri Manasa, selepas dia bekerja sebagai deejay selama lapan tahun sejak 2002, setelah lulus sebagai graduan kejuruteraan audio. - BERNAMA