Pemandu Triple Eight Race Engineering Australia itu, Jazeman memulakan perlumbaan dengan baik dan pada satu ketika berada di tangga keempat sebelum ketinggalan selepas menghadapi masalah.

Bagaimanapun, rakan sepasukannya, Tunku Abdul Rahman Hassanal Jeffri Sultan Ibrahim kemudian berjaya meneruskan aksi persembahan untuk pasukan itu menduduki tangga kelapan dalam kategori GT3 Pro-Am category.

Mereka menamatkan perlumbaan 27 pusingan di litar sepanjang 5,543 kilometer pada tangga ke-13 keseluruhan dan tmpat kelapan dalam kategori GT3 Pro-Am dengan catatan satu jam dan 02:03.066 saat.

"Ia agak malang mengalami insiden itu tetapi kami juga berjaya mengutip mata, kelapan dalam Pro-Am, InsyaAllah di litar Buriram nanti, kami akan bangkit kembali," kata Jazeman ketika ditemui pemberita selepas perlumbaan.

Jazeman menambah bahawa pasukan itu sentiasa yakin dengan keupayaan jentera mereka dan dia juga bangga dengan prestasi rakan sepasukannya.

"Kami telah lama memasang impain untuk membangunkan kereta itu sebagai pasukan baharu, suasana baharu, rakan sepasukan baru, dan saya gembira kerana kami pulang dengan mengutip mata berharga dan menduduki podium (di Sepang)," kata pemandu berusia 26 tahun itu.

Sementara itu, Tunku Abdul Rahman menambah bahawa semangat berpasukan yang mantap telah melonjakkan pasukan itu ke hadapan bagi mengharungi cabaran seterusnya.

"Kami akan meneruskan kerja keras kami dan mengambil perhatian daripada perkembangan positif minggu ini sebagai motivasi ke pusingan akan datang dan diharapkan dapat memperoleh hasil yang terbaik," kata Tunku Panglima Johor itu.

Ini kali pertama kedua-dua mereka beraksi bersama sebagai rakan pasukan selepas bergabung sejak enam bulan lalu.

Sementara itu, seorang lagi pelumba negara yang menyertai saingan, Weiron Tan yang berpasangan dengan Martin Rump dari pasukan Estonia menduduki podium.

Dia yang memandu bagi pasukan Audi Sport Asia Team Absolute Racing of China, mencatatkan 1'01:11.499s untuk menduduki tempat ketiga dalam kelas GT3S.

Perlumbaan hari ini dimenangi pelumba Thailand, Tanart Sathienthirakul dan pelumba Jerman, Philip Hamprecht yang mewakili Absolute Racing (China) dengan catatn masa 1'00:56.785s. - BERNAMA