Pelumba pasukan Petronas Mercedes itu gagal menyinar di GP Jerman sebelum ini kerana mengalami sakit tekak sehingga menyaksikan dia hanya mampu menamatkan perlumbaan di tempat ke-11 walaupun bermula di petak depan.

Beraksi pada sesi latihan sebelah pagi dalam cuaca hujan dan litar basah, Hamilton mencatat masa 1min:17.233s sepusingan untuk mengatasi catatan masa yang dilakukan dua pelumba Red Bull, Pierre Gasly dan Max Verstappen.

"Saya berasa terlebih sihat sekarang sebaik mula memandu hari ini. Yang baiknya saya mula berpeluh macam biasa dan ia satu petanda yang bagus dan positif biar apa juga masalah kesihatan yang saya hadapi,” katanya.

Menjelang perlumbaan sebenar Ahad ini, pelumba dari Britain itu tidak melihat kegagalannya di GP Jerman minggu lalu banyak menjejaskan kedudukannya dalam pungutan mata keseluruhan kerana masih mendahului 41 mata.

Malah keyakinannya terhadap jentera Mercedes untuk beraksi di atas litar basah juga begitu tinggi di sini dalam usaha meraih sebanyak mata yang boleh bagi menebus kegagalan di GP Jerman. - AFP