Pengasas Axle Motorsport, Alex Yoong berkata, kejohanan permainan elektronik itu akan menjadi satu batu loncatan kepada belia yang meminati dunia permotoran, untuk memasuki perlumbaan sebenar.

Yoong selaku pelumba Formula 1 (F1) Malaysia pertama dari 2001-2002, mendedahkan 40 peserta terbaik daripada kejohanan itu, akan dilatih menjadi pelumba sebenar oleh jurulatih perlumbaan professional.

"Kejohanan ini bukanlah satu idea baru, ia pernah dibuat sebelum ini, dan kami pernah lakukannya bersama Nissan dan berjaya. Ada yang berjaya mencapai kejayaan, dan ada juga yang gagal, tetapi ini kali pertama kami anjurkan untuk rantau ini.

"Kami laksanakan pembangunan dan kejurulatihan pemanduan professional yang mana lebih dekat dengan saya, dan saya rasakan ramai yang mahu menyertai perlumbaan, tetapi tidak dapat dilakukan atas pelbagai sebab," katanya kepada pemberita selepas majlis memperkenalkan kejohanan itu yang disempurnakan Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Steven Sim Chee Keong di sini, hari ini.

Sementara itu, Sim memuji inisiatif yang diambil Axle Motorsport, dan yakin kejohanan tersebut akan melahirkan lebih ramai bakat tempatan, yang berminat mengambil bahagian dalam dunia perlumbaan sebenar, melalui platform yang sah.

"Saya rasa eRacing mempunyai potensi yang besar di negara ini, kerana e-Sports pada masa ini lebih memfokuskan kepada permainan seperti Dota, FIFA dan sebagainya. eRacing sama dengan perlumbaan sebenar, dan sebab itu pengetahuan peserta yang didapati melalui kejohanan ini boleh digunakan di trek sebenar," kata Steven.

Beliau memberitahu, kerajaan kini dalam proses memuktamadkan pelan tindakan pembangunan e-Sports di negara ini, yang akan diumumkan dalam masa terdekat oleh Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

"Pelan tindakan ini merupakan inisiatif baru kerajaan. Untuk memastikan pelan tindakan ini memenuhi kesemua keperluan industri e-Sports di negara ini, KBS perlu berhati-hati, tetapi saya percaya ia diperingkat terakhir sebelum diumumkan tidak lama lagi," ujarnya.

Selepas Malaysia, kejohanan eRacing itu akan diteruskan ke beberapa negara ASEAN iaitu Filipina, Indonesia, Singapura, Vietnam dan Thailand. Pemenang di setiap negara akan dilatih dan ditawarkan tempat dalam Kejohanan Formula 4 Asia Tenggara (F4SEA), sebagai langkah permulaan sebelum mmenjadi pelumba professional. - BERNAMA