Kata pemandu Formula Satu (F1) dari Britain itu, dia dimaklumkan pemandu simpanan Mercedes, Esteban Ocon telah dipersiapkan untuk menggantikannya jika sakit yang dihadapi bertambah teruk.

Bagaimanapun mujur demam tersebut cepat reda untuk membolehkannya meraih petak depan ke-87 dalam kariernya di sini.

“Saya mula rasa kurang sihat sebaik bangun pada sebelah pagi. Tekak rasa sakit dan kami berbincang untuk pelumba lain menggantikan saya jika masih tidak sihat. Tetapi mujur saya berjaya atasinya dengan baik,” kata Hamilton.

Ini merupakan petak depan kelima buatnya musim ini dan kali pertama di Litar Hockenheim sejak 2008 selepas mencatat masa terpantas satu pusingan dengan mengatasi pelumba Ferrari, Charles Leclerc.

“Satu persaingan yang rapat antara saya dan Charles. Jentera Ferrari tampak berprestasi baik minggu ini,” tambahnya yang meramalkan saingan sengit bakal berlaku dalam perlumbaan sebenar tetapi masih bergantung kepada keadaan cuaca yang dijangka hujan. - AFP