Menurut kenyataan MAM, Alex akan bertanggungjawab berkaitan soal pemilihan pemandu yang bakal diumumkan dalam masa dekat.

Perlumbaan tahunan berkenaan yang akan berlangsung di Litar Vallelunga, Rome, Itali, dari 1 hingga 3 Nov ini, bakal menyaksikan penyertaan enam negara melibatkan enam acara bagi memburu pingat emas, perak dan gangsa.

Juara keseluruhan akan ditentukan menerusi jumlah pungutan pingat.

Acara tersebut akan mempertandingkan enam piala rebutan iaitu GT, Touring Car, Drifting, F4, Karting Slalom dan Piala Digital.

Temasya sukan permotoran itu diperkenalkan susulan kejayaan Piala GT Nations di Litar Antarabangsa Bahrain, tahun lalu yang menyaksikan Team Malaysia, diwakili pemandu kelahiran Sarawak, Zen Low dan pemandu yang berasal dari Kuala Lumpur, Mitchell Cheah, menamatkan saingan di tempat kelapan daripada 20 pasukan negara bertanding.

Pasukan Team Malaysia dalam perlumbaan kali ini dikendalikan oleh Axle Motorsports yang diasaskan oleh Alex sendiri. - BERNAMA