Terdahulu Ady Rahimy memenangi perlumbaan malam tadi dengan melengkapkan 21 pusingan dalam perlumbaan ketahanan satu jam. Perlumbaan itu diungguli pelumba T Production (TP), Teh Kian Boon dan Desmond Soh dari pasukan ST Wangan.

Tidak seperti Ady Rahimy, Desmond dan Kian Boon yang memandu kereta Mercedes AMG A45, bernasib baik untuk memenangi Perlumbaan 2 itu kerana hanya berjaya memotong pendahulu perlumbaan Lai Wee Sing, beberapa meter daripada garisan penamat.

Kereta Honda FD2R yang dipandu Wee Sing, kehilangan kuasa di selekoh terakhir, dan bergerak tidak lancar ke garisan penamat.

Mengulas kemenangannya, Ady Rahimi berkata, dia bernasib baik memenangi Perlumbaan 2 hari ini, selepas bergelut di awal perlumbaan, kerana perlu membawa bebanan tambahan 30 kilogram selepas memenangi aksi sebelah malam.

"Kemasukan kereta keselamatan membolehkan saya menghampiri kelompok hadapan dan mencari kemenangan. Tentunya saya mahu kekalkan momentum ini dan dapat kekal berada di atas pada penghujung musim.

“Saya perlu bekerja lebih kuat dan bersedia melakukan yang terbaik dan membanggakan keluarga serta penaja. Terima kasih atas sokongan semua," kata pelumba berusia 20 tahun itu.

Ady Rahimi terpilih bersama Angeline Lee untuk berlumba di MCS bersama pasukan lumba HIREV SIC Dream Chaser di bawah program pembangunan bakat SIC selepas memenangi kejohanan maya e-MCS, tahun lepas.

Angeline yang berpasangan bersama pelumba wanita dari German, Sophia Menzenbach memandu Ford Fiesta dalam kelas M Production (MTC), gagal menyerlah apabila hanya menduduki tempat kelima pada Perlumbaan 2 dan keenam dalam saingan pembukaan, malam tadi.

Perlumbaan MTC sekali lagi diungguli pelumba wanita, Leona Chin dari pasukan Tedco Racing yang memandu sendirian, selepas gandingannya dan bekas juara Nick Mah tidak dapat berlumba disebabkan komitmen kerja.

"Ia lebih mudah jika Nick Mah berlumba bersama saya, Namun dia tidak ada, jadi saya terpaksa memandu sendirian. Namun, saya gembira dengan kemenangan berganda ini.

“Dengan kereta yang sempurna, dan pasukan yang terbaik dan semua lancar pada kedua-dua perlumbaan. Beban tambahan 30 kilogram tidak menjadi masalah besar," katanya ketika ditemui selepas penyampaian hadiah.

Perlumbaan kelas S Production (SP1) diungguli gandingan Jepun, Ken Urata dan Masahiko Ida dari pasukan RWORKS, yang mencatatkan kemenangan berganda dalam kesemua empat kategori.

Memandu Honda Civic FD2, mereka melengkapkan perlumbaan 22 pusingan mengatasi gandingan Mohd Zuraimi Mustapha dan Ahmad Tarmizi Tahang yang juga memandu Honda Civic FD2. - BERNAMA