Menterinya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, fokus utama pihaknya ketika kini bagaimanapun tertumpu kepada pemilihan pemain bagi mewakili Sukan SEA di Manila pada tahun ini.

“Itu memang akan ada (Liga eSports) sebab kita memang hendak ada liga dari bawah sampai ke atas supaya kita boleh cungkil bakat. Pada masa sama, kita boleh pasarkan perkembangannya yang saya rasa, pengikutnya sangat besar.

“Sebelum ini, kita memang ada tetapi selalu ‘one-off’, satu pertandingan di peringkat Pusat, siapa hendak masuk, semua boleh sertai,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Persidangan Industri Profesional eSports yang turut dihadiri oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia dan Sukan negeri, Howard Lee Chuan How di sini hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Syed Saddiq berkata, pasukan petugas khas eSports yang telah ditubuhkan, akan bertemu dengan pemegang taruh pada bulan ini sebelum memuktamadkan garis panduan hala tuju industri tersebut untuk lima tahun akan datang.

Beliau berkata, pasukan petugas khas itu antara lain akan melihat kepada peraturan dan undang-undang berkaitan eSports termasuk atlet dan ekosistemnya.

“Kita juga tidak mahu sampai wujud elemen ketagihan, jadi dalam pasukan petugas khas ini akan melihat kepada semua unsur termasuk faktor kesihatan dan kecergasan serta mengambil kira pandangan ibu bapa,” katanya. - UTUSAN ONLINE