Pemain wanita nombor satu China itu menang 6-3, 6-3 untuk melebarkan rekod pertemuannya ke atas Vaidisova kepada 2-0.

Li, 25, sebelum ini turut memenangi pertemuan pertama kedua-dua pemain pada peringkat 16 terbaik pada Kejohanan Wimbledon 2006.

Semalam, Vaidisova beraksi dalam kesakitan akibat kecederaan buku lali, begitu pun dia menolak kecederaan itu punca kekalahannya.

Pemain utama Croatia itu meminta permainan dihentikan untuk mendapatkan rawatan selepas terasa sakit pada buku lali kiri, ketika ketinggalan 3-5 di set pertama, yang menyaksikan Li mendominasi permainan sepenuhnya.

‘‘Saya tidak fikir ia (kecederaan) adalah masalah yang amat besar, ia cuma sedikit menganggu.

‘‘Dia (Li) sememangnya mempamerkan aksi yang hebat, malah sudah mendahului saya sebelum kecederaan ini berlaku, jadi kesakitan buku lali bukan alasan kepada kekalahan hari ini,'' tegas Vaidisova.

Li akan menentang pemenang antara Amelie Mauresmo dari Perancis dengan bintang Switzerland, Patty Schnyder dalam satu lagi perlawanan suku akhir.

Sementara itu, pemain Isarel, Shahar Peer melakar kejutan terbesar dengan menewaskan penyandang juara, Dinara Safina dari Rusia dalam satu lagi saingan suku akhir, semalam.

Peer, yang kalah kepada Safina pada separuh akhir tahun lalu menang 4-6, 6-1, 7-6 (9-8) dalam masa dua jam 30 minit di Royal Pines.

‘‘Lebih setahun saya tidak bertemunya selepas kekalahan terakhir tahun lalu. Anda mungkin mahu memanggil kemenangan saya ini sebagai membalas dendam, namun saya tidak fikir ia begitu,'' kata Peer, yang sedang mendahului 6-4, 5-1 tahun lalu sebelum akhirnya kalah selepas perlawanan tertangguh akibat hujan.

Menanti pemain berusia 20 tahun itu pada separuh akhir hari ini ialah Azarenka dari Belarus, yang mara selepas mengetepikan pemain Slovakia, Dominika Cibulkova 6-1, 3-6, 6-3.

- AP