Juruperunding komunikasi Koperasi Mega Maju Sdn. Bhd., James Tan berkata, “larian ini juga mahu menyedarkan orang ramai tentang kesihatan mental dan fizikal kerana kekayaan semata-mata tidak akan bererti jika kedua-dua aspek itu tidak turut dititikberatkan.

“Kami turut gembira dengan angka kehadiran peserta-peserta dalam Larian Generasi Baharu Mega Maju ini. Kami berharap dapat meneruskannya pada masa hadapan,” katanya selepas majlis penyampaian hadiah di sebuah pusat beli-belah di sini hari ini.

Majlis pelepasan rasmi pelari dalam larian sekitar Jalan Dutamas dan Sri Hartamas yang bermula pada pukul 7 pagi itu dilakukan oleh Pengarah Kanan Bahagian Pembangunan Koperasi, Kementerian Pembangunan Usahawan, Dr. Salmah Ishak.

Pengerusi Koperasi Mega Maju Selangor, Datuk Murugan Supparamaniam yang juga Pengerusi Personal Banc Berhad berkata, program tersebut turut berjaya memupuk semangat dan gaya hidup sihat dalam kalangan peserta.

“Walaupun pertama kali dianjurkan, penyertaannya cukup memberangsangkan kerana para peserta tertarik untuk menjadikannya satu daripada amalan hidup mereka.

“Hari ini kita berbangga kerana telah mewujudkan satu komuniti yang mementingkan kesihatan dan membudayakan sukan.

“Serentak sambutan Hari Kebangsaan, 31 Ogos ini, kami berbangga dapat membuktikan rakyat Malaysia daripada pelbagai kaum mampu mampu hidup bersatu dan muhibah melalui medium sukan menerusi larian ini,” katanya.

Larian terbuka sejauh lima kilometer itu dimenangi Poovasanthan Subramaniam dengan catatan masa 17 minit 10 saat diikuti tempat kedua milik Rohit Rhaarje Singh Bhatt, 19:06 s dan ketiga, Muhammad Zaiman Manas, 21:04 s.

Gelaran kategori wanita pula dirangkul Loh Chooi Fern, 20:02 s, naib juara milik Tan Bee Kiang, 21:29s dan tempat ketiga dimenangi Noorsheila Abdul Rahim 26:57 s.

Hadiah-hadiah wang tunai untuk juara, naib juara dan tempat ketiga ialah RM1,000, RM800 dan RM500. - UTUSAN ONLINE