Akademi Kejurulatihan Kebangsaan (AKK) merupakan badan yang bertanggungjawab dalam menyelia program pendidikan sains sukan berteraskan aplikasi yang sistematik dan saintifik agar jurulatih mendapat ilmu terkini sambil memastikan peningkatan kemahiran serta profesionalisme bidang kejurulatihan.

AKK juga bertanggungjawab merancang dan melaksanakan pelbagai program ke arah melahirkan jurulatih sukan yang inovatif, dinamik dan progresif selaras dengan wawasan untuk meningkatkan martabat profesion kejurulatihan sukan kebangsaan.

Selaras dengan kemajuan sukan semasa, AKK menyasarkan untuk mewujudkan Program Kejurulatihan Asas dalam kalangan belia. Wartawan Utusan Malaysia, NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR menemubual Pengarah AKK, Dr. P. VELLAPANDIAN bagi mendapatkan penjelasan lanjut mengenai perancangan itu.
 

BIDANG kejurulatihan me­rupakan antara aspek penting dalam kemajuan sukan sesebuah negara dan bagi memastikan Malaysia bergerak seiring dengan pembangunan sukan, AKK berhasrat menyediakan program kejurulatihan asas dalam kalangan belia bagi memberikan mereka lebih banyak pilihan kerjaya pada masa akan datang.

Vellapandian berkata, kejurulatihan juga adalah antara bidang kerjaya yang mempunyai prospek yang baik kepada golongan belia yang ingin mencari kelainan profesion kerana tidak ramai tahu tentang bidang tersebut.

Menerusi program itu, golongan belia akan didedahkan pengetahuan asas bidang kejurulatihan dan mereka boleh memilih untuk meneruskan ke tahap lebih tinggi, seterusnya memiliki lesen kejurulatihan kebangsaan.

“Kami mahu mewujudkan program kejurulatihan di peringkat belia bagi membolehkan mereka memiliki lebih banyak pilihan kerjaya pada usia muda.

“Kami akan menyediakan modul bersesuaian yang mampu menarik minat golongan belia, selain, memastikan mereka tidak tercicir selepas menamatkan pengajian di peringkat SPM (Sijil Pelajaran Malaysia).

“Satu modul khas akan disediakan kepada mereka dan ia lebih kepada pendedahan terhadap bidang asas kejurulatihan. Secara tidak langsung kita boleh meningkatkan imej golongan belia di negara ini,” kata Dr. Vellapandian yang memiliki Ijazah Sarjana Kedoktoran (Ph.D) dalam bidang Psikologi Sukan dari Universiti Western Australia.

Terdapat beberapa komponen utama di bawah kendalian AKK termasuk Kursus Sains Sukan, Kursus Sukan Spesifik, Skim Pelesenan Kejurulatihan Kebangsaan, Pendidikan Kejurulatihan Berterusan, Jurnal Kejurulatihan dan Pusat Maklumat Sukan.

Vellapandian berkata, bagi mendapatkan lesen kejurulatihan, setiap jurulatih perlu melengkapkan kursus sains sukan dan sukan spesifik yang dikendalikan bersama Persatuan Sukan Kebangsaan yang berdaftar di bawah AKK.

Beliau juga menggalakkan jurulatih untuk meneruskan pengajian secara berterusn menerusi Kursus Kejurulatihan Berterusan (CCE) yang merangkumi tiga pecahan kursus iaitu Foundation Applied Coach Education (FACE), Basic Coach Education (BCE) dan Advance Coach Education (ACE) yang merangkumi aspek teori serta amali.

“Mereka akan didedahkan dengan pelbagai perkara termasuk asas urutan sukan, nutrisi sukan, kemahiran mental, perancangan program sukan serta pengurusan konflik.

“Bagi yang memiliki ijazah, Sarjana atau Ph.D dalam bidang berkaitan, mereka boleh memohon sijil Persetaraan daripada AKK. Graduan yang memiliki subjek dalam bidang berkaitan akan diberikan pengecua­lian daripada mengikuti kursus sains sukan yang ditawarkan,” katanya yang pernah diberi tanggungjawab selaku Timbalan Ketua Kontinjen Sukan Asia 2018 di Jakarta-Palembang.