Itu nasihat pemenang pingat emas 100 dan 200 meter Sukan SEA 2003, Nazmizan Muhammad kepada semua pihak yang berada di sekeliling Khairul Hafiz, termasuk peminat olahraga negara.

Kata Nazmizan, tekanan terlalu tinggi disandarkan kepada Khairul Hafiz untuk menghadiahkan emas KL2017 mampu membuatkan jaguh pecut negara itu hilang fokus, sekali gus boleh menjejaskan aksi pemegang rekod kebangsaan 100m dan 200m tersebut.

“Saya suka dengan sikap merendah diri Khairul Hafiz ketika ini dan harap dia terus kekal dengan sikap sedemikian.

“Bergelar atlet yang menjadi tumpuan semua pihak bukan mudah, tambahan pula dia masih muda dan kerana itu semua pihak harus membantunya dengan tidak memberi tekanan.

“Saya pernah menyaksikan ada atlet yang bagus catatan masanya tetapi apabila tiba hari kejohanan sukar mengulangi pencapaian kerana hilang fokus.

“Dalam masa sama buat seketika ini kurangkan sedikit publisiti ke atas atlet tersebut bagi membolehkannya fokus kepada latihan menjelang Sukan SEA dan selepas tamat temasya tidak kisah mahu memberikan sebanyak mana publisiti,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Nazmizan juga menasihatkan Khairul Hafiz agar terus mengekalkan prestasinya selain cuba mengelak daripada mengalami kecederaan ketika latihan.

“KL2017 akan menjadi aksi pertama Khairul Hafiz dalam Sukan SEA dan apa yang boleh saya kongsikan kepadanya adalah jangan hiraukan tentang lawan kerana mungkin ada pesaing yang cuba melancarkan perang psikologi.

“Banyak berdoa kepada Tuhan dan bertawakal selepas bekerja keras,” kata Nazmizan lagi.

Sementara itu, legenda olahraga negara, Tan Sri Dr. M. Jegathesan berkata, kejayaan yang dilakar oleh Khairul dalam acara 200m adalah satu berita gembira yang amat membanggakan negara.

“Saya amat gembira apabila mengetahui ada anak muda yang akhirnya berjaya mengatasi rekod 200m saya sebelum ini.

“Diharap Khairul Hafiz dapat meneruskan kecemerlangannya bukan sahaja dalam Sukan SEA tetapi ketika Sukan Asia 2018,” kata Jegathesan.

Bagaimanapun kata Jega­thesan, Khairul Hafiz perlu be­kerja lebih keras jika mahu melakar lebih banyak kejayaan di pentas antarabangsa.