Dalam hal ini, jarang sekali kita dapat melihat orang keba­nyakan diberi peluang yang sama untuk menonjolkan bakat dan kemahiran menunggang kuda masing-masing.

Bagaimanapun, inisiatif diambil Kelab Ukhuwwah Berkuda Seberang Perai (Kubersp) untuk menganjurkan aktiviti berkuda termasuk cabaran kuda lasak di Mengkuang Semarak, dekat sini baru-baru ini menarik perhatian ramai.

Hal ini demikian kerana, rata-rata peserta yang mengambil bahagian bukanlah dikategorikan sebagai profesional dalam sukan itu.

Lebih menarik, sebahagian daripada mereka merupakan guru agama serta pelajar tahfiz yang pastinya bukan ahli dalam sukan berkuda.

Malah, peserta termuda yang menyertai acara sukan berkuda itu baru mencecah usia lapan tahun.

Menurut Ketua UMNO Bahagian Permatang Pauh, Datuk Mohd. Zaidi Mohd. Said yang turut serta dalam cabaran itu, sambutan yang diterima khususnya daripada penduduk setempat sangat memberangsangkan.

“Saya harap aktiviti sihat seperti ini dapat diteruskan pada masa akan datang.

“Bagi saya, program seperti ini amat bagus terutamanya kepada golongan muda yang bakal memimpin negara suatu hari nanti,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Mohd. Zaidi berkata, selain cabaran kuda lasak, acara sam­pingan yang mendapat sambutan hangat ialah pertan­dingan ‘kuda cantik’ dan ‘kuda bijak’.

Katanya, cabaran kuda lasak dianggap sebagai kemuncak kepada semua acara ini dengan penyertaan kira-kira 30 ekor kuda mewakili pelbagai institusi termasuk maahad tahfiz dan sekolah agama berhampiran.

“Kebanyakan pusat agama yang mengambil bahagian terletak di sekitar Permatang Pauh sahaja, namun, ada juga peserta luar yang mengambil bahagian termasuk Pusat Maahad Tahfiz Abdullah Khairi di Padang Menora, Tasek Gelugor dekat sini,” katanya.